Politik Kelantan Panas : Kelantan Dewasa Dengan Kesabaran
KELANTAN yang diterajui PAS kini sudah melewati usia kedewasaan. Lapan tahun bagi sebuah Kerajaan yang dikenali sebagai pembangkang sudah dikira cukup dewasa.
PAS mengharungi liku-liku perjuangan tanpa kawan ramai bagi mengikuti persada politik yang begitu panas.
Jejak, langkah dan perhitungan Kelantan menjadi intaian kepada banyak pihak. Semua orang memburui keupayaan pimpinan ulamak untuk terus melayari bahtera Kelantan memasuki ke alaf baru. Berbekalkan sokongan tanpa berbelah bagi, Berjasa dan Hamim – PAS melangkag gagah mengemudi dan mengharungi arus panas politik Kelantan.
Biarpun ditinggalkan kerabat yang pernah tidur sebantal, namun PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) yang pernah mengungkapkan janji-janji manis, tetap tenang menghadapi segala kecurangan politik yang berlaku angkaran parti Semangat 46 yang pernah dinobatkan sebagai pejuang Melayu tulen. Namun parti itu kini hanya mampu dicatatkan di lingkaran sejarah.
Mimpi-mimpi indah Semangat 46 mengulek bersama Angkatan, kini menjadi bayangan dendam kesumat yang tidak pernah padam surut. Semangat 46 dikuburkan, dan pemimpin serta penyokongnya diseru bernaung semula di bawah bumbung Umno. Biarpun seribu alasan perpaduan Melayu sekalipun dicanangkan oleh presidennya pada masa itu, namun penduduk Kelantan nampak, anak raja itu sudah jatuh ditimpa tangga.
Menyusuri politik Kelantan sejak awal zaman kemerdekaan, sememangnya ia menjadi kajian para pemerhati politik dan ahli akademik. Salah satu negeri yang sering bertukar pemerintah di negara ini adalah Kelantan. Jelasnya, Kelantan mempunyai rakyat yang unik. Keunikan itu salah satunya terjelma melalui sikap politik rakyatnya. Oleh itu, politik Kelantan sentiasa panas.
Kerajaan yang bermula dengan PAS bertukar kepada Barisan Nasional dan kini kembali semula kepada PAS. Keunikan ini yang diperkatakan orang, politik Kelantan panas. Panas bukan erti kata menggelegak. Kepanasan pemikiran rakyat yang mudah muak dengan telatah pemimpin tertentu sehingga memberi ruang kepada pemimpin lain untuk membuktikan kemampuan.
Merapati sejarah dan keunikan itu, tentunya bagi memahaminya adalah memerlukan kajian yang agak mendalam. Kitab-kitab sejarah lampau perlu digali untuk melihat dari dekat politik panas yang berlaku di Kelantan. Kemungkinan tidak dapat ditolak sekiranya ada pihak mengandaikan politik panas di negara jiran bertiup ke Kelantan
Namun kebenaran itu sukar dibuktikan secara fakta. Jika diperbandingkan dengan negara jiran, kepanasan politik mereka sudah menghampiri suhu mendidih. Seorang Perdana Menteri baru sahaja diwatikahkan baru beberapa bulan, rakyat sudah mahu kepada Perdana Menteri lain. Apakah sikap begitu sudah berjangkit (seumpama virus)di kalangan rakyat Kelantan sehingga tercetus pula provokasi rakyat Kelantan mahukan Umno. Apa yang jelas bukannya rakyat Kelantan mahukan Umno kembali memerintah Kelantan, tetapi ialah pemimpin bekas Semangat 46 yang mahukan Umno. Sekiranya begitu, ternyata bekas pemimpin itulah yang telah dijangkiti virus politik negara jiran.
Biarpun begitu, kepanasan politik Kelantan insyaAllah, tidak mungkin mengikuti rentak seperti itu. Panas dalam erti kata berpadu mempertahankan keunggulan pemimpin luhur, yang mampu untuk mengubah minda rakyat dari maksiat kepada kebaikan. Mengintai dan berkenan kepada pemimpin berprinsipkan agama bagi menggantikan wakil rakyat yang lidahnya bercabang. Di samping, ingin terus selesa dengan percikan bauan kasturi ulamak.
Inilah tradisi yang bakal dimodelkan oleh rakyat Kelantan. Berpuluh tahun berada di bawah genggaman PAS, kamudian direbut oleh Umno/Barisan Nasional (BN). Tiga penggal selepas itu, impian besar BN musnah, kerajaan mereka ranap bersama-sama kepalsuan dasarnya. Rakyat sudah insaf, Umno bukan penyelamat mereka, lantas memberi kesempatan semula kepada PAS, kali ini bersama-sama Angkatan bertekad merealisasikan Islam sebagai ad-din mulai 21 Oktober 1990.
Mahligai indah di Kota Darulnaim yang dibina dengan hutang ratusan juta ringgit, terlepas tangan. Kerusi empuk di pejabat sudah jadi milik orang lain. Biarpun arkitek mereka cipta bertuankan BN, namun nikmat itu hanya dikecapi seketika. PAS yang datang bersama Angkatan mengharumi Kota Darulnaim.
Secara terpaksa mereka telah menghadiahkan seberkas hutang berjumlah lebih RM760 juta kepada Kerajaan PAS-Angkatan. Kata pemerhati politik, kerajaan BN hanya pandai berhutang dan tidak pandai membayar. Pembangunan yang dilaungkan di sana sini, kononnya dicatat dengan jasa dan kegigihan kerajaan BN. Pengorbanan BN dalam masa 12 tahun sebenarnya tidak banyak untuk dimegahkan, kecuali hutang RM760 juta.
Inilah warisan pusaka yang paling berharga pada egoan pemimpin Umno, tetapi yang menjadi kepahitan kepada rakyat Kelantan. Mereka bermasam muka kerana terpaksa meninggalkan kerusi kerusi empuk di pejabat Kota Darulnaim, tetapi mereka tetap tersengih malu bercampur sinih “padan muka rakyat Kelantan” kerana dibebani hutang RM760 juta. Dalam sanubari mereka tegas mengutuk, “padan muka” PAS-Angkatan, pastinya tak mampu melunaskan hutang sebanyak itu oleh kerajaan Angkatan. Kerajaan Angkatan akan bangkrap, baru “padan muka” rakyat Kelantan.
Sebagai percaturan politik mudah, mereka menggadaikan kerajaan PAS tidak akan bertahan sampai tiga, tujuh, sembilan bulan dan setahun. Pemimpin Umno terus mencemburui kerajaan Angkatan berkempimpinan ulamak. Dalam hati mereka, tak sudah-sudah mencemuh rakyat Kelantan.
Namun ramai manusia lupa, mereka hanya mampu mengandaikan, tetapi Tuhan yang boleh memakbulkannya. Hutang RM760 juta secara sedikit-sedikit dilunaskan. Pembangunan berjalan lancar, dari aspek fizikal dan kerohanian telah diseimbangkan. Tetapi ramai juga berpendapat, kerajaan Angkatan bertuah kerana kerajaan Pusat tetap merencanakan pembangunan di Kelantan. Selepas dimasyhurkan BN tewas, maka lahirlah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang tidak pernah wujud sebelum ini. Kelahiran JPP adalah bermotif politik kerajaan Pusat. Terutama bagi menjaga kepentingan politik beberapa kerat pemimpin Umno supaya terus bernyawa.
Kelantan dan Sabah (ketika itu di bawah Parti Bersatu Sabah) menerima kehadiran JPP. Bermula saat itu, geran peruntukan kepada kerajaan Kelantan tidak masuk terus ke akaun di Kota Darulnaim, kecuali ditapis dahulu oleh tokoh Umno yang bertabirkan JPP. Pembangunan kemudahan asas untuk rakyat, bantuan rakyat termiskin dan pelbagai bentuk bantuan yang didatangkan dari Kuala Lumpur semuanya mesti melalui JPP.
Semua kenangan itu, turut dilalui bersama antara PAS dan Semangat 46. Namun kenangan itu, telah menserabutkan benak pemikiran pemimpin atasan Semangat 46. Mereka mudah buntu berhadapan dengan kenagan sedemikian. Lantaran itu, selepas pilihan raya umum 1995 jampi serampah pemimpin Umno telah mengkhayalkan pemimpin Semangat 46. Tatkala itu, nafsu besar mereka untuk menerajui politik negara dikecewakan oleh rakyat dalam pilihan raya umum itu, lantas mereka terkhayal lalu menyokok ke lutut Annuar Musa.
Bermula sambutan ulang tahun ke-50 Umno, yang turut menjadi impian kepada Semangat 46, telah merelakan mereka untuk merosakan persahabatan dengan PAS, Berjasa dan Hamim tatkala membina persahabatan Angkatan. Semangat 46 tekad mahu hadir di perhimpunan ulang tahun itu. Kamudian heboh penyebaran berita pertemuan Ku Li dan Datuk Seri Dr Mahathir Muhamad di satu tempat yang dirahsiakan. Saat itu bermulalah riak-riak kecamuk, para pemimpin mereka mula bercakap merapu dan mula bersandiwara di mata rakyat.
Setiausaha Agung Hamim, Haji Wan Ibrahim WanAbdullah berpen-dapat, Semangat 46 terpaksa lari daripada perjuangan asal kerana tidak mampu untuk meneruskan kehidupan kurang selesa dengan kerajaan kecil. Impian Ku Li yang mahu menjadi Pendana Menteri, dilihat sudah terlalu jauh tersasar. Dan adalah langkah paling selamat untuknya hanya kembali ke pangkuan Umno.
Bekas anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Pasir Mas, Tuan Yusof Tuan Muhamad yang kini menjadi orang kuat PAS turut berpendapat perjuangan Umno lebih mementingkan kebendaan semata-mata. Tidak ada akhirat dalam dairi kehidupan orang Umno.
Namun bagi Ku Li yang sudah kesempitan “RM” bagi membiayai pergerakan partinya, telah memilih jalan paling selamat dengan menyertai Umno. Pelbagai alasan yang telah diketengahkan lantas meletakkan PAS sebagai pihak bersalah. Semangat 46 merujuk untuk tarik diri sebenarnya cerita orang kecewa termakan sumpah sendiri.
Penolong Setiausaha Agung Berjasa, Ustaz Abdul Hamid Ahmad berkata, biarpun PAS keseorangan kini mentadbir selepas pemergian Semangat 46, namun keutuhan kerajaan tetap dipertahankan. Beliau tidak nampak ada kepincangan dengan ketiadaan Semangat 46. Malah suara gasakan mahukan ‘orang kuat’nya diberi jawatan dalam kerajaan Angkatan juga sudah tidak kedengaran lagi selepas Semangat 46 bersewang semula dengan Umno. Tinggal kini hanya kenangan dan cerita-cerita “tamak” orang-orang Semangat 46; nak tambah kuota penghulu, nak jadi guru dakwah, nak tambah jumlah exco dan nak itu nak ini.
Inilah kelebihan yang dizinkan Tuhan kepada kerajaan Kelantan sekarang. Rahmat itu telah sampai kepada rakyat Kelantan. Sebagaimana pengakuan Pengurus Kelas Bimbingan al-Quran dan Fardhu Ain di Kuala Krai, Ustaz Zulkifli Yaakub seorang lulusan al-Azhar katanya, bidang pendidikan agama sekarang semakin berkembang. Ini menggambarkan kemantapan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan yang ada hari ini. Kelas bimbingan yang dikendalikan di Guchil sejak dua tahun lalu kini mempunyai 550 pelajar. Ini sebagai tanda bahawa kesedaran dan rahmat ad-din mula terpahat di sanubari rakyat Kelantan
Katanya, bukan orang PAS sahaja yang menghantar anak-anak untuk mendalami ilmu-ilmu al-Quran dan fardhu ain di kelas kelolaannya, tetapi anak-anak orang bukan PAS dan pegawai-pegawai kerajaan turut sama. Sebelum ini keadaan seperti itu begitu sukar untuk dilihat, katanya yang sekarang bertugas sebagai guru di sekolah Menengah Ugama (Arab) Rahmaniah Kuala Krai.
Kemampuan PAS terus mentadbir mempunyai fakta yang jelas untuk dibuktikan. Kehadiran 14 pelabur besar yang melibatkan pelaburan lebih RM1,000 juta menggambarkan keadaan itu. Selepas ketiadaan Semangat 46, saban minggu boleh dikatakan sering diadakan majlis menanda-tangani memorandum persefahaman di antara agensi kerajaan negeri dan pihak swasta .
Inilah realiti yang berlaku di Kelantan. Perhimpunan Perpaduan Melayu di Sekolah Kebangsaan Padang Garong dengan kehadiran Pendana Menteri suatu ketika dulu, ditenggelami dengan perhimpunan amanat Tok Guru di Stadium Sultan Mohamed Ke IV. Sehari sebelum itu, Ku Li bermegah dengan kehadiran memenuhi ruang padang sekolah yang sempit. Tetapi terkejut besar dengan kehadiran di luar dugaan di stadium yang luas, mencatatkan bilangan kehadiran berlipat kali ganda melebihi perkiraan pemimpin Semangat 46.
Liku-liku kehidupan selepas ketiadaan Semangat 46, sedikit sebanyak memberi kebaikan dan kematangan kepada PAS. Salah satunya ialah kesukaran untuk melantik exco baru bagi menggantikan exco bekas Semangat 46. Lapan bulan menanti dengan penuh kepanasan, ia bukan suatu tempoh yang singkat. Selama tempoh itu, seorang Exco terpaksa menerajui tiga portfolio.
Inilah susur galur politik panas yang berlaku di Kelantan. Mungkin terbayang di fikiran rakyat betapa menjadi ketua kerajaan di negeri Serambi Mekah tentunya terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko yang kadang kala mengatasi beban seorang Pendana Menteri. Biarpun apa pun yang berlaku, rakyat Kelantan mengerti dan pastinya tidak harus lupa kepada kerenah pemimpim tertentu itu. Cuma bagi mereke, kerelaan untuk melepaskan kepimpinan ulamak yang ternyata banyak berjasa begitu sukar sekali. Bayangan itu akan mereka nyatakan sekali lagi menjelang pilihan raya umum bakal menjelang.