Semangat Perjuangan Islam Masyarakat Melayu
Sumbangan para ulamak dalam perjuangan Islam dan dakwah Islamiah di Alam Melayu adalah satu sumbangan besar yang tidak boleh dilupakan. Sumbangan ini sungguh bermakna dan perlu dilihat secara ‘ilmiah’ supaya keunggulan sejarah ini tidak dikuburkan oleh pihak musuh Islam.
Zaman baru
Beberapa sarjana tempatan seperti Prof. Syed Muhammad Naqiub Al-Attas dan lain-lain dengan tegas telah membuat rumusan bahawa Islamlah yang telah memulakan zaman baru di Alam Melayu. Begitu juga, Abu Bakar Hamzah dalam mengulas pengaruh majalah al-Imam yang diasaskan oleh Sayid Syeikh Al-Hadi bahawa ada sarjana orientalis menganggap majalah itu dari satu segi adalah berorientasikan politik. Pengaruh al-Imam di kalangan masyarakat Melayu terbukti tatkala beliau menyimpulkan, “al-Imam menerbitkan makalah-makalah tentang teori-teori dan pemikiran politik walaupun bidang pengetahuan ini masih baru bagi orang Melayu”. Ini bermakna bahawa kedatangan Islam telah mencetus semangat perjuangan Islam di kalangan masyarakat Melayu untuk membawa perubahan-perubahan besar dalam sejarah dan peradaban rantau Alam Melayu.
Di antara perubahan-perubahan besar itu termasuklah:-
a) Merombak pandangan hidup masyarakat serantau, mengeluarkan mereka dari alam metos ke
alam aqidah dan intelektualisme.
b) Mengangkat peranan Bahasa Melayu sebagai media penyebaran Islam..
c) Dalam bidang politik Islam telah menjadi faktor penyatuan ummah Melayu dan Kesultanan
Melayu, khususnya dalam menghadapi pencerobohan penjajahan Barat.
Al-Quran dan Al-Hadis
Perjuangan Islam di kalangan masyarakat Melayu berlaku sejak kemasukan Islam ke rantau ini. Pada abad ke 15 perjuangan tersebut adalah berteraskan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis. walaupun rantau Melayu pernah mempunyai tamadun yang diperjuangkan sebelum kedatangan Islam, namun perjuangan masyarakat Melayu pada waktu itu umumnya mementingkan perjuangan pembangunan kebendaan semata-mata. Perjuangan masyarakat Melayu yang hakiki ialah untuk penghayatan Islam serta menyebarkan Dakwah Islamiah.
Pusat-pusat penyebaran dakwah dan perjuangan Islam sebelum meluas di Tanah Melayu telah tersebar di merata tempat di Nusantara termasuk Aceh., Riau Banjar, Melaka, Jawa, Pattani, Berunei, Kelantan dan Champa.
Manakala ulamak-ulamak besar yang terlibat dengan perjuangan Islam sama ada di peringkat awal atau terkemudian di antaranya ialah Syeikh Mohd Tahir bin Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Haji Abbas bin Mohd Taha, Haji Muhamad bin Yusof (Tok Kenali), Haji Abu Bakar Al-Baqir, Prof. Datuk Zulkifli Muhamad dan lain-lain lagi (sekadar beberapa nama).
Semangat perjuangan Islam di kalangan masyarakat Melayu sebenarnya berlaku kerana didorong oleh beberapa faktor penting.
Pertama, pengaruh aqidah dan ajaran agama Islam. Apabila Islam telah mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu, maka dengan sendirinya Islam telah dijadikan unsur nilai dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan yang demikian Islam dan aqidah yang benar (sohih) merupakan pengaruh teras yang kukuh dalam perjuangan bagi menegakkan Islam sebagai cara hidup mereka. Sebab itulah bagi mereka, agama Islam adalah undang-undang bagi umat Islam, terutama sekali dalam hal-hal yang bersangkutan dengan soal politik, ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan lain-lain.
Islah
Kedua, pengaruh gerakan Islah, pada awal abad 20 Masihi masyarakat Melayu rantau ini telah dipengaruhi oleh gerakan Islah, iaitu satu gerakan perjuangan pembangunan dan pembaharuan yang berasakan SALAFIYY, iaitu pegangan dan ajaran Islam yang diamalkan oleh Rasullullah s.a.w. dan para-para sahabat dalam tempoh tiga ratus tahun dari kewafatan Rasullullah.
Gerakan Islah yang berlaku dirantau ini secara umumnya dapat dibahagikan kepada dua aliran iaitu dari Asia Barat (Timur Tengah) dan India. Apa yang dimaksudkan dengan aliran Asia Barat ialah fahaman Islah yang berpengaruh dengan pemikiran tokoh-tokoh Islah seperti Ibnu Taimiyah, Jalaluddin Al-Afghaniyy, Muhamad Abduh dan Rashid Rida. Manakala aliran dari India berpengaruh dengan faham pembaharuan yang bersumberkan pemikiran Shah WaliyyuLlah ad-Dahlwiyy. Gerakan Islah aliran Asia Barat teryata lebih besar pengaruhnya di kalangan masyarakat Melayu dan telah diperjuangkan oleh ulamak-ulamak lulusan Pusat Pengajian Islam Mesir dan Mekkah seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al- Hadi dan lain-lain lagi.
Ketiga, semangat gerakan Hizbul- muslimin (HAMIM). Perjuangan masyarakat Melayu terutama golongan Islam telah meningkat apabila sampai tahap perjuangan politik per-juangan menubuhkan sebuah parti politik Islam Hisbul-Muslimin pada 14 Mac 1948 di Gunung Semanggol, Perak. Dasar Hamim ialah Islam. Begitu juga kebangkitan anti-British di Perak (Maharaja Lela), Pahang (Bahaman) dan Terengganu (Abdul Rahman Limbong) dikatakan juga di atas semangat jihad dan mengambil semangat perjuangan Hamim.
Panggilan Jihad
Dalam hubungan ini, perlu diingatkan bahawa golongan pondok yang mendapat didikan agama daripada ulamak-ulamak muktabar di pondok-pondok, Sekolah Arab dan Madrasah merupakan golongan yang pertama menyahut panggilan jihad menentang penjajahan dan tujuannya pula ialah antara lain untuk mencapai kemerdekaan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air yang berdaulat, berdasarkan Islam dan mencapai Tanah Melayu sebagai Darul-Islam. Hamim telah mendapat sambutan yang meluas daripada masyarakat Melayu. Justeru itu, beberapa pemimpin nasionalis Melayu merasai kerugian di sebalik pengaruh Hamim, lantas mendesak British mengharamkan Hizbul Muslimin. Apabila Hamim diharamkan dan pemimpinnya dipenjarakan, aspirasi perjuangan Islam yang diasaskan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir itu tidak terkubur begitu sahaja. Tetapi sebaliknya telah menjelmakan sebuah wadah berupa parti politik iaitu Persatuan Islam Se-Tanah Melayu pada 23 November 1951 yang kemudiannya didaftarkan atas nama PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS).
Keempat, pengaruh kebangkitan anti- British. Siri kebangkitan anti-Beritish yang berlaku di negeri-negeri Tanah Melayu dan anti-penjajahan Belanda di kepulauan Indonesia sepanjang abad ke-18 Masihi dan selepasnya teryata ditiupkan oleh perjuangan Islam. Beberapa siri kebangkitan tokoh dan pejuang bangsa telah dikaitkan dengan kebangkitan ulamak. Kebangkitan Diponegoro di Jawa serta pengaruh Mahsyumi di Indonesia jelas mengandungi ciri-ciri perjuangan Islam yang tidak boleh diperkecilkan.
Kerajaan Othmaniah
Nyata sekali, sejak zaman seawal-awalnya Islam dengan ajaran jihadnya telah mencetuskan semangat juang menentang penjajah kafir tersebut. Dalam hal ini, apa yang berlaku dalam tahun 1910-an di Kelantan turut menggambarkan pengaruh yang sama. Umpamanya kebangkitan anti-British yang berlaku di Pasir Puteh Kelantan, di bawah pimpinan Haji Mat Hassan atau Tok Janggut adalah dilancarkan atas nama jihad lantaran tiupan perjuangan Islam dari perang dunia pertama.tatkala kuasa Islam – kerajaan Othmaniah Turki pada masa itu berperang dengan British.
Penutup
Dalam perbincangan di atas, di paparkan pengaruh semangat perjuangan Islam masyarakat Melayu. Perbincangan di atas, di tinjau di sudut mana sekali pun amat ringkas serta menyentuh sudut-sudut tertentu sahaja yang terikut pula dengan pengetahuan penulis yang terhad. Rahsia keagungan pencapaian masyarakat Melayu dalam perjuangan mereka sebenarnya terletak kepada falsafah penyebaran Islam dan menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai paksi dalam semua kegiatan kehidupan