Kawalan Tembakau Dan Merokok

𝗦𝗘𝗚𝗘𝗥𝗔𝗞𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗟𝗨𝗟𝗨𝗦𝗔𝗡 𝗥𝗨𝗨 𝗞𝗔𝗪𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗠𝗕𝗔𝗞𝗔𝗨 𝗗𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗥𝗢𝗞𝗢𝗞 𝟮𝟬𝟮𝟮 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗠𝗘𝗡𝗖𝗔𝗣𝗔𝗜 𝗦𝗔𝗦𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗚𝗘𝗡𝗘𝗥𝗔𝗧𝗜𝗢𝗡𝗔𝗟 𝗘𝗡𝗗 𝗚𝗔𝗠𝗘 (𝗚𝗘𝗚)
Dianggarkan sebanyak 20 ribu kematian setiap tahun berlaku akibat masalah merokok di Malaysia. Merokok masih kekal sebagai punca kematian pramatang serta kematian-kematian yang disebabkan oleh serangan jantung, kanser paru-paru dan penyakit paru-paru kronik atau COAD, yang merupakan kesan akibat daripada merokok.
Data terbaharu menunjukkan sebanyak 6 Billion ringgit setahun dihabiskan oleh kerajaan bagi menanggung kos rawatan penyakit akibat merokok dan kos dijangka akan meningkat sebanyak 8.7 billion ringgit menjelang tahun 2030 sekiranya tiada langkah proaktif diambil.
Keadaan hari ini lebih membimbangkan ekoran rokok elektronik atau vape yang kian mendapat tempat dalam masyarakat. Pelbagai penyakit yang memudaratkan kian bertambah dan kini satu penyakit khusus disebabkan penggunaan rokok elektronik dan vape mula timbul dikenali sebagai EVALI, iaitu E-Cigarette Vaping Associated Lung Injury yang merupakan sejenis penyakit radang di selaput paru-paru akibat rokok elektronik atau vape.
Justeru Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 adalah antara langkah yang perlu disokong oleh semua pihak kerana ia merupakan usaha murni untuk menjaga kesihatan rakyat secara amnya dan meringankan beban kesihatan awam serta mengurangkan kos pengurusan pesakit yang kian mencanak akibat masalah merokok.
Usaha ini selaras dengan tindakan kawalan tembakau di seluruh dunia di bawah Perjanjian Framework Convention On Tobacco Control atau FCTC . Semenjak FCTC ini dikuatkuasakan banyak negara maju seperti New Zealand, Australia, Singapura , UK telah menunjukkan penurunan yang ketara kepada peratusan merokok.
Secara global kebanyakan negara telah mula mensasarkan penurunan peratusan merokok kepada kurang 5% dan ini dinamakan The End Game For Tobacco. Pakar-pakar antarbangsa telah menetapkan tahun 2030 untuk mencapai status ini. Namun begitu Malaysia akan cuba mencapai status The End Game menjelang tahun 2040.
Selain mengawal produk-produk rokok, akta baharu ini juga akan memperuntukkan larangan merokok terhadap anak-anak yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya atau lebih dikenali sebagai golongan Generational End Game (GEG). Akta ini juga amat penting bagi merealisasikan visi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas tanpa amalan merokok dengan mensasarkan prevalen merokok kurang dari 5% pada tahun 2040. Ia dijangka dapat membendung ancaman berganda penggunaan rokok konvensional dan produk merokok alaf baru seperti rokok elektronik dan vape.
Jika dibandingkan dengan PPKHT 2004 atau Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 larangan hanya melibatkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah . Namun dengan adanya Akta baharu ini kelak, larangan akan melibatkan mereka yang lahir pada 1 Januari 2005 terus tidak boleh memiliki dan menggunakan sebarang bentuk produk rokok .
Sehubungan itu, Lajnah Kesihatan dan Pekerja, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyeru semua pihak terutamanya seluruh ahli parlimen di dewan rakyat menyokong usul ini tanpa prejudis. Sokongan semua pimpinan parti adalah pemula kepada langkah kesihatan rakyat yang lebih baik.
Kelangsungan generasi sejahtera tanpa rokok atau GEG 2040 pastinya perlu bermula hari ini. Sokongan ini akan menentukan nasib anak cucu kita di masa hadapan.
Sekian, terima kasih.
Muhd Zaeim Shamsuri
Ketua Lajnah Kesihatan Dan Pekerja
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
6 Muharam 144 / 4 Ogos 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *