Fikrah Perjuangan Islam Dalam Konteks Pilihanraya
Sesungguhnya perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada hari ini merupakan warisan perjuangan dari Rasulullah SAW.
Semasa hayatnya, baginda telah melaksanakan tugas perjuangan dengan penuh tabah dan ketaqwaan. Apa yang diimpikan oleh baginda tidak lain ialah untuk mempastikan Islam terus terbela, berkembang dan memerintah dunia ini. Maka atas hasrat inilah PAS mengikuti dan mencontohi sunnah Rasulullah SAW tersebut demi mempastikan Islam menguasai dan memerintah negara kita ini.
Fikrah Para Pejuang Islam
Sehubungan dengan itu, setiap pejuang PAS bertanggungjawab memahami tugas dan tanggungjawab serta membuat persiapan rapi bagi mempastikan kemenangan Islam.
Firman Allah SWT; Surah Al-Anfaal (60), maksudnya, Dan siapkanlah bagi menghadapi mereka (musuh), hendaklah membuat persiapan yang secukupnya – sedaya upaya kamu dengan segala kekuatan yang perlu. Surah As-Saaf (4), maksudnya, Sesungguhnya Allah amat kasih kepada orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun rapi seumpama suatu binaan kukuh.
Surah At-Taubah (5), maksudnya, “Tawanlah mereka, kepunglah mereka dan tunggulah mereka di setiap tempat pengintipan“. Dan Firman Allah SWT lagi dalam Surah An-Nur (55), maksudnya, Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa.
Sementara Rasulullah SAW pula bersabda, “Apabila satu-satu tugas diberi kepada orang-orang yang tidak layak, tunggulah saat kegagalannya”. Diriwayatkan oleh Abu Musa, ketika Rasulullah s.a .w memerintah seorang sahabatnya untuk melaksanakan perintahnya, baginda bersabda, “Sampaikan khabar gembira dan jangan menakut-nakuti. Permudahkanlah dan janganlah mempersulitkan”.
Diriwayatkan daripada Said bin Burdah dari ayahnya, dari neneknya, sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah mengutusnya bersama Mu’az pergi ke Yaman. Sebelum berangkat Rasulullah s.a.w berpesan, “Permudahkanlah dan jangan mempersulitkan. Sampaikanlah khabar gembira dan janganlah menakut-nakuti. Dan bertimbang rasalah dan jangan selalu berselisih”. Diriwayatkan oleh Jabir dan Abu Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w “Peperangan itu tipu daya”.Daripada Abu Hurairah sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda, “Janganlah kamu mengharapkan bertemu dengan musuh. Tapi jika kamu bertemu dengan mereka maka bersabarlah”.
Daripada Anas bin Malik meriwayatkan “Pernah Rasulullah s.a.w berperang dengan mengajak Ummu Sulaim. Bahkan beberapa wanita Ansar juga pernah ikut berperang bersama baginda. Tugas wanita-wanita Ansar itu ialah memberi minum dan mengubati pasukan yang terluka”.
Daripada Abu Hurairah dan daripada Nabi Rasulullah s.a.w , sesungguhnya bersabda, “Barangsiapa yang keluar dari taat dan memisahkan diri dari jema’ah, lalu dia mati, maka matinya secara jahiliah. Barangsiapa yang berperang secara membabi buta dengan emosi kerana membela atau mempertahankan umatnya, lalu dia terbunuh, maka dia terbunuh secara jahiliyah. Dan barangsiapa yang memusuhi umatku sehingga dia pukul mereka semua tanpa mempedulikan orang-orang yang seharusnya dijamin keamanan mereka dan tanpa mengabaikan janji-janji mereka yang dia buat sendiri, maka dia bukan termasuk golongan aku, dan aku pun bukan termasuk golongannya.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang melihat sesuatu yang tidak menyenangkannya pada pemimpinnya, maka hendaklah dia bersabar kerana sesungguhnya orang yang memisahkan dirinya dari jemaah walaupun sejengkal lalu dia mati, maka kematiannya adalah seperti kematian orang-orang jahiliyah”.
Dari Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah s.a.w besabda, “Allah akan menjamin orang-orang yang mahu berjihad di jalanNya, orang yang keluar dari rumahnya hanya untuk berjihad di jalan Allah dan membenarkan kalimahNya, maka Allah akan membalasnya dengan balasan syurga, atau akan mengembalikan ke rumahnya di mana dia berangkat, bersama-sama pahala atau ghanimah”.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Nabi s.a.w bersabda, “seorang yang terluka dijalan Allah dan Allah pasti mengetahuinya, maka pada hari kiamat kelak dia akan datang dengan membawa luka yang masih baru, warnanya adalah warna darah dan baunya bau minyak kasturi”.
Dan Saidina Ali Karramallah hu Wajhah berkata,”Perjuangan yang benar dengan tidak mempunyaj strategi teratur lagi berkesan, akan tewas apabila berhadapan dengan perjuangan yang batil tetapi teratur rapi”.
Asy-Syahid Hassan Al-Banna, menyebut dalam Risalah At-Ta’lim; bagi setiap orang masing-masingnya mempunyai jalan yang ia sukai, maka hendaklah kamu berlumba-lumba ke arah perkara kebaikan dan kebajikan.
Amalan atau pekerjaan merupakan buah hasil daripada ilmu pengetahuan dan ikhlas, seperti firman Allah (at-Taubah:105), bermaksud, “Dan katakanlah, bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata”.
Pergorbanan ialah menyumbangkan jiwa raga, harta benda, masa dan hidup serta segala sesuatu untuk mencapai matlamat kita. Sementara taat setia bermaksud menjunjung perintah dan melaksanakannya dengan serta merta, sama ada ketika susah atau senang, ketika bersedia atau terpaksa. Demikian lagi, tetap pendirian bermaksud sentiasa berada di dalam jama’ah dengan terus bekerja dan berjuang bersungguh-sungguh demi mencapai matlamat perjuangan sekalipun akan memakan masa yang lama.
Hassan al-Banna
Fikrah yang ditanam oleh Hassan Al-Banna kepada ahli Ikhwanul Muslimin adalah sama dengan amalan/kerja dalam PAS iaitu “memimpin masyarakat dengan cara menyebarkan seruan-seruan kebajikan dan dakwah Islamiyah di kalangan mereka, dan dengan jalan memerangi segala keburukan dan perkara-perkara mungkar dan dengan menggalakkan ahli-ahli masyarakat itu mengamalkan sifat-sifat yang mulia serta dengan menyuruh mereka berbuat kebaikan dan menyegerakan perkara-perkara kebajikan. Selain daripada itu, ia hendaklah berusaha sedaya upaya untuk menarik fikiran orang ramai supaya suka dan cinta kepada idea dan ajaran Islam dan sentiasa mencorakkan lapangan-lapangan kehidupan mereka dengan corak keIslaman.
Kemudian Fathi Yakan menyarankan kepada para pejuang Islam agar mengambil kira persoalan penguasaan dalam kehidupan dakwah dan pendakwah. Menurutnya:
“Penguasaan ialah kemampuan para pendakwah untuk menarik orang ramai dan memperkembangkan mereka sekalipun mereka itu terdiri daripada berbagai bentuk mentaliti, kecenderungan, status dan ilmu pengetahuan yang tidak sama. Kejayaan dakwah tidak akan tercapai tanpa penguasaan.”
“Penguasaan membawa pengertian kemampuan peribadi, keahlian di sudut akhlak, sifat imaniyah dan anugerah Allah yang dapat menolong para pendakwah dan menjadikan mereka sebagai menara hidayah dalam masyarakat mereka.”
Penguasaan terbahagi kepada penguasaan dalaman dan luaran. Penguasaan luaran ialah menguasai mereka yang berada di luar gerakan dakwah dan tanzim. Penguasaan dalaman ialah menguasai mereka yang telah berada dalam tanzim; yakni menguasai mereka yang telah ditanzimkan dan telah menggabungkan diri ke dalam amal-amal Islam dan gerakan Islam.
Melihat kepada fikrah perjuangan PAS, keyakinan yang ada adalah kekuatan dasar Islam yang menjadi tonggak perjuangan PAS. Justeru itu, benar sekali padangan Dr Ali Syari’ati bahawa ajaran Islam adalah menjadi sebahagian daripada faktor dasar yang berkesan membawa perubahan sosial. Seruan dalam al-Quran menyebut perkataan al-Nas bermaksud seluruh manusia.