ISLAM MENJAMIN HAK PENDIDIKAN UNTUK SEMUA, BUKAN MENAFIKANNYA
KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
ISLAM MENJAMIN HAK PENDIDIKAN UNTUK SEMUA, BUKAN MENAFIKANNYA
25 Disember 2022 | 1 Jamadil Akhir 1444H
1. Pendidikan adalah asas yang amat penting bagi membina sebuah tamadun yang sejahtera. Malah, Islam menekankan umatnya untuk mencari ilmu bagi memajukan diri serta masyarakat.
Sabda Rasulullah SAW:
طلب العلم فريضة على كل مسلم
“Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslimin” (Hadis riwayat al-Imam Ibnu Majjah).
Allah juga berfirman dalam Surah al-Mujadalah:
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [QS al-Mujadalah: 11]
2. Sejarah Islam dari zaman ke zaman, menyaksikan bagaimana pendidikan menjadi suatu wadah yang amat penting dalam membina sebuah peradaban. Bukan sahaja kaum lelaki, malah golongan wanita juga turut memainkan peranan dalam perkembangan ilmu. Ramai tokoh wanita Islam yang menjadi perintis dalam bidang sains, pendidikan, dan politik di awal kebangkitan tamadun Islam. Malah, hadis Rasulullah SAW turut diriwayat dan dikembangkan oleh para wanita seperti Ummul Mukminin Aisyah r.a , Ummul Mukminin Hafsah r.a dan Ummu Salamah r.a.
3. Atas sebab itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap polisi Kerajaan Islam Afghanistan, yang menggantung akses wanita negaranya daripada memasuki universiti di negara tersebut. Sebelum ini, Taliban membenarkan pelajar wanita untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat universiti dengan syarat tertentu. Malangnya, polisi ini digantung sementara selepas arahan terbaru yang dikeluarkan tempoh hari. Ini sebuah langkah terkebelakang yang dilaksanakan oleh mereka.
4. Tanpa sekalipun menafikan kewajipan untuk menutup aurat kepada semua umat Islam, tindakan ini dilihat sebagai perkara yang tidak tepat pada pelaksanaannya, serta tidak wajar berlaku dalam memastikan budaya keilmuan terus berkembang dari semasa ke semasa. Terdapat kaedah-kaedah perlaksanaan lain yang lebih sesuai, serta boleh dikuatkuasakan dalam memastikan isu hijab ini boleh dilaksana, di samping hak pendidikan kepada seluruh warganegara juga terjaga.
5. Dalam melaksanakan sesuatu perubahan, ianya mestilah dibuat secara berhati-hari dan tidak bersifat drastik sehingga mencemarkan nama Islam. Rasulullah SAW juga pernah mengajar umatnya untuk melakukan perubahan secara berperingkat atau “Tadarruj”. Ini penting bagi memastikan penerapan nilai Islam dalam perubahan tersebut, agar ia mencapai maqasid syariah yang digariskan serta tidak menjadi fitnah yang mencemarkan nama Islam itu sendiri.
Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas
#PemudaPAS
#PemudaGenerasiSejahtera