SAYONARA DCL, TUMPAT UNTUK KAK TAZ
Saya ditunjukkan video ucapan Dato’ Che Loh dihadapan penyokong BN yang pada hematnya ucapan sulung disebarkan setelah beliau menjadi calon BN seminggu yang lalu. Untuk dikatakan terkejut, sebetulnya tidak. Beliau telah memilih dan membuat keputusan meninggalkan PAS, menjadi calon BN lalu mengungkapkan ucapan memperlekeh kerajaan PAS Kelantan.
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan jelas dalam isu DCL sedari awal. Semasa beliau dalam parti, para pemuda inilah yang mempertahankan beliau, mengangkat wibawa dan menyokong kuat kerja-kerja beliau terutama untuk rakyat Tumpat. Beliau tidak dibiarkan sendirian dalam membawa amanah sebagai ahli Parlimen PAS di Tumpat. Sokongan sepenuhnya tanpa sedikitpun berniat serong.
Namun setelah beliau meninggalkan perjuangan parti memilih untuk bersama UMNO, saya tegaskan bahawa pemuda yang sama inilah juga yang akan menjadi benteng pertahan parti dan kerajaan PAS sepenuh tenaga serta tidak akan ragu-ragu menentang beliau. Pemimpin boleh datang dan pergi laksana kapal di lautan. Dasar dan agenda parti adalah pelabuhan yang kekal, tidak berubah fungsinya.
Kepada jentera pemuda yang masih keliru, saya tegaskan kebaikan kita semasa DCL masih dalam parti adalah kerana gagasan perjuangan yang sama di bawa iaitu Islam. Bergerak atas akidah perjuangan. Sayugia sebagai pimpinan atau ahli parti, kita diajar untuk saling hormat dan menyayangi. Jauh dari khianat sesama sendiri.
Jelas setelah DCL memilih untuk menjadi lawan PAS, saya dan pemuda harapnya akur dengan keputusan yang beliau buat. Tinggal lagi adat berlawan, kita pasti akan bertembung kerana agenda kita tidak sama. PAS konsisten, redha Allah cita tertinggi.
Sayonara DCL dari pemuda PAS Kelantan. Untuk Tumpat, pemuda dengan sepenuh wawasan yang ada berbangga dengan pertaruhan TG Presiden dan PAS Kelantan meletakkan Kak Taz sebagai calon terbaik di Tumpat. Sebarang cubaan mengganggu PAS, adalah juga mengganggu pemuda PAS Kelantan tanpa kompromi.
Dengan sepenuh jiwa raga kami lawan.
Salam hormat.
Mohamad Kamal Mohamed
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
15 Rabiul Akhir 1444 / 10 November 2022