KABINET MENTERI, TIADA SENTUHAN REFORMASI
Kabinet Menteri akhirnya diumumkan malam ini setelah seminggu angkat sumpah. Tahniah kepada semua jemaah menteri khususnya Timbalan Perdana Menteri. Nampak serasi PM dan Timbalannya.
Pelbagai versi sudut pandang boleh diutarakan dan anak muda pada saya juga berhak memberikan pandangan kerana mereka ini merupakan sejumlah pengundi terbesar mewakili 56% saluran undi anak muda seluruh negara.
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan beranggapan tiada reformasi perlantikan menteri mahupun pembentukan kabinet sebagaimana diwarwarkan sebelum ini selain menampilkan muka lama dan kabinet gabungan. Yang nampak baharu hanyalah dalam bentuk menstrukturkan semula sebahagian besar portfolio menteri 22 bulan lalu kecuali kementerian pengangkutan. Barangkali cemerlang menggelapkan semua cermin kereta dan idea mewajibkan ‘carseat’.
Menteri anak muda daripada DAP saya simpan dahulu komen pandangan. Banyak yang saya khuatirkan terutama melibatkan dasar-dasar dan program-program anak muda, juga melibatkan sukan. Cuma saya ingatkan kebetulannya ramai MP anak muda daripada Perikatan Nasional telah bersedia menjadi semak imbang mewakili anak muda. Nantikan persembahan mereka untuk penyediaan anak muda yang baik untuk negara.
“Abang Mat Sabu” tidak saya lupa dengan zikir DAP DAP DAP dan terbaharu menuduh PN membayar anak muda untuk memenuhi aplikasi tiktok dalam mempengaruhi undi saluran muda. Tidak mengapalah, barangkali abang mat sudah lupa bagaimana PAS mendidik akar umbi terutama anak muda untuk menolak politik wang. Penghinaan ini tidak akan kami lupa. Penegasan saya soal ini, tiada bayaran dibuat kepada anak muda selain kesedaran demokrasi bernegara.
Anak muda percaya negara perlukan parti yang bersih dan stabil, juga pemimpin yang berakhlak dan paling penting membawa negara ke arah pencapaian yang lebih baik.
Seimbang duniawi dan ukhrawi.
Salam hormat.
Mohamad Kamal Mohamed
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
7 Jamadil Awal 1444 / 2 November 2022